Haiwan eksotik makin pupus
SEJAK berzaman sesetengah lelaki percaya
organ dalaman haiwan tertentu mampu
meningkatkan kekuatan seksual selain
menjadi tangkal memikat wanita.
Justeru, permintaan terhadap organ
dalaman selain daging dan tulang haiwan
seperti harimau, beruang, serigala tidak
pernah berkurangan. Walaupun ada
undang-undang menghalang pemilikan,
penyimpanan atau penyeludupan haiwan
itu, saban tahun pasti ada rampasan
dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan
Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pengarah Bahagian Perundangan dan
Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan, Dr
Sivananthan Elagupillay, berkata antara
organ dalaman haiwan yang popular
termasuk kemaluan harimau dan buaya;
hempedu beruang, ular dan kongkang.
“Kebelakangan ini haiwan yang kerap
dirampas adalah tenggiling dan biawak
tikus yang dipercayai digunakan sebagai
bahan meningkatkan kekuatan tenaga
batin,” katanya.
Perubahan ini kata Dr Sivananthan,
dikaitkan dengan permintaan dan ‘musim’
haiwan. Bergantung pada permintaan dan
musim juga, harga untuk sekilogram
daging atau organ dalaman boleh mencecah
ratusan ringgit.
|
|
TENGGILING
antara haiwan yang mendapat
tempat di pasaran gelap.
|
Bukan saja di Malaysia, perdagangan
tenggiling kini sangat popular dan
mengambil alih pasaran haiwan yang kini
jarang ditemui misalnya tapak kaki
harimau, tanduk badak dan zakar beruang.
Justeru, tidak hairan apabila hampir
semua 57 kes yang dibawa ke mahkamah
sepanjang tahun lalu membabitkan
penyeludupan dan pemilikan tenggiling.
Daging haiwan itu, didakwa bukan saja
bagus untuk
menangani masalah tenaga batin
tetapi cukup berkhasiat untuk dimakan
ibu hamil, mereka yang menghidap
arthritis dan lelah. Ia juga dikatakan
bagus untuk menangani barah prostat dan
hemofilia.
Perdagangan haram makanan eksotik yang
dikaitkan dengan kekuatan tenaga batin
ini sebenarnya bukan berlaku di Malaysia
saja. Di China, Jepun, Singapura, Taiwan
dan Thailand keadaannya hampir sama.
Bezanya di China dan Thailand ia
dijual secara terbuka, Kedai menjual
makanan eksotik ini mempamerkan organ
haiwan sebagai sebahagian promosi.
Kebanyakan kepercayaan tradisional,
memakan makanan eksotik menjadikan orang
itu berani, panjang umur dan kekuatan
seksual bertambah. Tidak kiralah lemak,
kulit, tapak kaki, tulang beruang liar
memang terkenal dalam menu makanan untuk
menjadi ‘kuat’.
Kuda laut misalnya, dipercayai boleh
menangani masalah mati pucuk dan jantung
manakala tapak kaki beruang kononnya
boleh menyembuhkan masalah tenaga batin
selain arthritis.
Berdasarkan laporan rampasan oleh
Perhilitan sebelum ini, harga seekor
kongkang boleh mencecah hingga RM5,000,
harimau antara RM100,000 hingga
RM200,000 manakala sekilogram tenggiling
boleh mencecah RM100.
Di Shanghai, sebelah tapak kaki beruang
boleh mencapai harga hingga RM2,345.
Daging tenggiling pula mencecah harga
RM938 sekilogram.
Dr Sivanathan berkata, tenggiling dan
biawak tikus memang banyak diperoleh di
hutan Malaysia, Thailand, Indonesia dan
Vietnam. Justeru, tidak hairan
Perhilitan kerap membuat rampasan
tenggiling yang cuba dibawa keluar dari
Malaysia.
“Trend makanan eksotik sudah banyak
berubah. Faktor kepupusan sesetengah
haiwan menyebabkan, permintaan beralih
kepada haiwan lain. Misalnya 30 tahun
lalu, permintaan untuk makanan eksotik
tertumpu pada harimau, beruang dan otak
kera tetapi kini sudah tidak ada lagi,”
katanya
Walaupun tidak dapat dipastikan kesan
sebenar makanan sebegini terhadap
kekuatan seksual tetapi ia kerap
dicanang dan menjadi daya penarik untuk
dibeli. Walaupun susah untuk mempercayai
dakwaan ini, susah juga untuk
menghapuskannya.
Tabiat buruk manusia juga dikatakan
punca kepupusan sesetengah binatang.
Banyak binatang yang diburu untuk tabiat
pemakanan begini hampir pupus dan ada
yang hanya tinggal tidak sampai 100 ekor
di hutan Malaysia.
Berikutan itu kata Dr Sivananthan,
Perhilitan kini banyak membuat
eksperimen untuk menternak sesetengah
haiwan secara komersial seperti projek
menternak landak dan pelanduk.
Ada 292 jenis haiwan dilindungi
sepenuhnya antaranya badak raga (Javan
Rhinoceros), badak kerbau (Sumatran
Rhinoceros), tenggiling, kongkang dan
biawak tikus. Haiwan ini tidak boleh
dimiliki dan disimpan kecuali untuk
tujuan pendidikan seperti di zoo.
Menyimpan atau memiliki organ atau
bahagian tertentu hidupan liar yang
dilindungi boleh dikenakan tindakan
Seksyen 68, Akta Perlindungan Hidupan
Liar 1972 denda RM6,000, penjara enam
tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala 491 haiwan tertakluk sebagai
haiwan dilindungi. Maksudnya ia boleh
diburu jika lesen diperoleh dan diburu
pada musim dan lokasi tertentu.
Antaranya rusa, kijang, babi hutan, babi
bodoh (bearded pig), lotong kelabu dan
landak raya.
“Babi hutan misalnya boleh diburu
sepanjang tahun, rusa sepanjang November
manakala pelanduk dan napuh antara Mei
hingga Ogos. Keluang boleh diburu setiap
malam bermula jam tujuh malam hingga 12
malam,” katanya.